TEMERLOH - Angkatan Koperasi Berhad Kebangsaan (Angkasa) berhasrat menjadi pengeluar utama tanaman vanila di negeri ini.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, potensi tinggi tanaman itu menyebabkan pihaknya ingin menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri merealisasikan hasrat tersebut.
"Kita akan bincangkan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan kerjasama termasuk mendapatkan tanah kerajaan negeri atau tanah terbiar untuk menanam vanila.
"Buat masa ini kita sudah ada beberapa ahli koperasi yang mengusahakan tanaman ini," katanya selepas Bengkel Pengenalan Asas Tanaman Vanilla Angkasa Zon 2 di Dewan Seminar Pejabat Angkasa zon itu di sini semalam.
Dalam pada itu, seramai 26 peserta dari seluruh Pahang menyertai bengkel yang dikendalikan dua konsultan iaitu Mohammad Feisal Norawi dari Vanilla Temerloh dan Nur Aziz dari Bogor, Indonesia.
Menurutnya, Angkasa juga sudah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menubuhkan koperasi dengan menggabungkan semua penanam vanila.
"Buat masa ini harga vanila mencecah RM1,500 hingga RM2,500 sekilogram. Jadi ia boleh meningkatkan pendapatan koperasi dan ahli jika tanaman ini salah satu fokus koperasi," katanya.
Sementara itu Nur Aziz menyifatkan negara ini memiliki potensi sebagai pengeluar vanilla kerana faktor fizikal dan cuaca sesuai dengan tanaman itu.
Menurutnya, masih banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat di negara ini mencontohi Indonesia yang kini antara pengeluar vanilla berkualiti tinggi.