SHAH ALAM - Budaya Umno termasuk 'warlord' yang dilihat mula meresapi Bersatu boleh memusnahkan parti itu jika tidak ditangani segera.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpendapat, tidak mustahil perkara itu berlaku seperti mana dilalui Umno yang tumbang selepas PRU14 akibat budaya itu dan negatif lain, menjadikan parti tersebut jauh dari masyarakat.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya, Bersatu perlu membawa paradigma dan budaya baharu yang sesuai dengan kehendak generasi baharu demi kelangsungan parti.
"Bersatu ialah sebuah parti yang cuba 'moving forward', ia perlu membawa satu paradigma dan budaya baharu yang sesuai dengan kehendak dan kemahuan generasi baharu.
"Generasi lama (generasi X) perlu akur bahawa generasi Y pada hari ini mempunyai minda, pemikiran dan perspektif yang berbeza. Mereka dibesarkan dalam keadaan di mana Malaysia telah maju dan untuk berjaya, mereka perlu bersaing. Maka pemimpin-pemimpin veteran dalam Bersatu perlu menerima hakikat ini," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang budaya Umno yang dilihat telah meresapi Bersatu susulan tindakan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar pemberian kontrak diberikan secara rundingan terus demi meraih sokongan penduduk setempat dalam PRU15.
Dalam pada itu, Ahmad Martadha berkata, sebagai sebuah parti yang dibentuk menjadi alternatif kepada Umno, kepimpinan Bersatu perlu menghakis budaya menyebabkan Umno tumbang termasuk amalan pemberian kontrak dan 'warlord'.
"Dalam Bersatu ada pertembungan dua generasi iaitu X dan Y.
"Pertembungan mereka ini akan berterusan jika tak ditangani secara bijaksana, maka ia akan mengganggu gugat dari segi kestabilan parti itu sendiri," katanya.