Suka sambal belacan Permaisuri Agong, PM Singapura luah penghargaan

Iklan
Hsien Loong dalam laman Twitternya meluahkan penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong atas kesudian baginda menyediakan sambal belacan istimewa kepada keluarganya sejak sekian lama.

SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong melahirkan rasa penghargaan yang tidak terhingga di atas kesudian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyediakan sambal belacan istimewa air tangan baginda kepada keluarganya sejak sekian lama.

"Terima kasih atas kesudian dan kebaikan Raja Permaisuri Agong, menghantar kepada bapa (dan saya) sambal belacan sungguh istimewa sejak sekian lama ini,” kata Hsien Loong dalam laman Twitternya.

Iklan
Iklan

"Saya berharap Raja Permaisuri gembira menghasilkannya seperti mana kami menikmatinya,” Hsien Loong mengakhiri kata-kata itu dengan emotikon wajah tersenyum.

Tanpa diketahui ramai, 'diplomasi belacan' secara tidak langsung menjadi alat dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura.

Iklan

Perkara ini diketahui apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pada 25 Oktober berkongsi rahsia bagaimana sambal belacan air tangan baginda menjadi kegemaran Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Dalam Twitter itu, Tunku Azizah, yang lebih dikenali sebagai cheminahsayang menyatakan bahawa baginda pada satu ketika dahulu 'pembekal rasmi' sambal belacan kepada Kuan Yew.

Iklan

Malahan, Raja Permaisuri Agong masih membekalkan sambal belacan ke republik itu.

Sambal itu kini terus dinikmati dan digemari oleh anak lelaki Kuan Yew pula, yang juga Perdana Menteri Singapura sekarang ini, Lee Hsien Loong.

"Telah lama saya ingin berkongsi (rahsia) ini dengan rakyat Malaysia. Saya pernah menjadi pembekal rasmi sambal belacan kepada Perdana Menteri Singapura, Datuk Lee Kuan Yew dan kini pembekal kepada anaknya, PM Lee,” Raja Permaisuri Agong bertitah dalam laman Twitter.

Tunku Azizah turut berkongsi gambar sepucuk surat yang ditulis oleh Kuan Yew mengenai perkara ini dalam akaun Instagram airtangan_tunkuazizah.

Surat berkenaan bertarikh 23 Julai 2009 ditulis:"Enam peket (sambal) belacan yang diberikan kepada saya sungguh sedap. Saya berkongsi dengan dua anak lelaki saya. Semua telah habis dimakan. Ia cili belacan yang paling sedap pernah kami rasai. Bolehkah keluarga saya dapatkannya lagi?

"Harap maaf kerana terpaksa menyusahkan tetapi ia telah menjadikan banyak masakan lebih berperisa.”

Tunku Azizah yang memuatkan gambar itu pada 2 Mei 2018 bertitah bahawa surat itu amat bernilai kepada baginda sendiri.

"Semuanya kerana sambal belacan, saya begitu terharu,” titah Tunku Azizah.

Akaun Instagram airtangan_tunkuzaizah menyimpan koleksi resipi Raja Permaisuri Agong, memaparkan populariti baginda sebagai ahli kerabat diraja yang gemar memasak. - Bernama