MACHANG - Dibesarkan tanpa ibu bapa di sisi menjadi kekuatan kepada Puteri Lailatul Aqashah Mohd Rosdi, 13, untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.
Walaupun hidup serba kekurangan dengan mengharapkan ihsan nenek, emak dan bapa saudara, bekas murid Sekolah Kebangsaan Ayer Merah, dekat Bukit Bakar itu tidak pernah menjadikannya alasan, malah sedaya upaya berusaha bagi mengubah nasib keluarganya.
Puteri Lailatul Aqashah berkata, kejayaannya mendapat 4A 2B dalam UPSR lalu diharapkan menjadi titik permulaan baginya membina kejayaan pada masa akan datang.
Katanya, dia dan dua abang dijaga neneknya sejak 10 tahun lalu selepas kedua ibu bapa meninggal dunia, manakala sumber kewangan mereka banyak dibantu emak dan bapa saudaranya memandangkan nenek telah uzur.
"Walaupun tak dapat 6A, saya bersyukur dengan kejayaan ini dan akan belajar dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang.
"Selain guru-guru di sekolah, program Latihan Akademik Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) banyak membuka minda saya.
"Saya bersyukur kerana terpilih menyertai program tersebut, banyak aktiviti termasuk kelas tambahan, kem dan motivasi yang mana semuanya disediakan percuma,” katanya pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Program Empower Ecer Machang di sini.
Hadir sama, Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Kelantan, Siti Fairuz Zahari; Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Latihan dan Jaringan Industri, Institut Pendidikan Neo (iNED), Shira Haniza Yaakop dan Pegawai Empower Ecer Machang, Mohd Hilmi Ghazali.
Sementara itu, Shira Haniza dalam ucapannya berkata, program Empower Ecer merupakan inisiatif serampang dua mata di bawah program pembangunan modal insan yang dilancarkan ECERDC dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai penyedia perkhidmatan dalam memberi bimbingan dan latihan kepada peserta.
Katanya, program Latihan Akademik mula diperkenalkan di Machang pada 2015 melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama dan telah memberi manfaat kepada 600 pelajar tempatan.