Fitnah Agong: NGO desak polis siasat dalang sebar fitnah

Iklan

SHAH ALAM - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Gagasan Tiga Malaysia (G3) meminta supaya pihak berkuasa menyiasat terhadap desakan supaya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V melepaskan jawatan.

Pengerusi G3, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, spekulasi yang semakin menular dalam kalangan rakyat menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu meresahkan rakyat.

Iklan
Iklan

"Sepatutnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengeluarkan kenyataan atau arahan meminta ahli politik, penulis dan rakyat daripada membahaskan apa-apa isu berkaitan Yang di-Pertuan Agong.

"Sepatutnya polis sejak daripada awal lagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dalang menyebarkan spekulasi ini," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah yang menafikan khabar angin yang menyatakan Sultan Muhammad V akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat.

Sejak semalam, tular di media sosial mendakwa satu Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja telah membuat keputusan meminta Yang di-Pertuan Agong berhenti secara terhormat jika tidak mahu disingkir daripada jawatan itu sebelum 9 Januari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Raggie Jessy mendakwa, khabar angin berhubung perkara tersebut tersebar menerusi media sosial itu bermula kira-kira dua bulan sebelum Sultan Muhammad V bercuti pada 2 November lalu.

Beliau mendakwa, perkara tersebut ditimbulkan dalam kalangan orang politik dan pihak yang mempunyai hubungan dengan istana.

"Saya fikir perkara ini adalah sangat terancang untuk mencucuk jarum kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Semua ini bertujuan untuk memperlihatkan baginda tidak ada kredibiliti dan wajar diganti," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa kesal apabila pemimpin terutama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersuara mempertahankan baginda.

"Ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong, sepatutnya ada usaha untuk mempertahankan, beri nasihat kepada penulis yang tidak sensitif dalam hal ini.

"Apa yang saya perhatikan, ada dalam kalangan rakyat yang tidak mula resah dengan khabar angin ini," katanya.