Calon BN jauh lebih muda, kata Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri. Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan mempertaruhkan calon yang lebih muda daripada calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Jaminan itu disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang optimis BN akan meletakkan calon ‘jauh lebih muda’ daripada Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu.

Iklan
Iklan

"Kalau saya cakap banyak, macam semalam mereka marah kepada Datuk Hasni (Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad). Tapi calon yang diumumkan sudah berumur.

"Kita bercakap soal Malaysia Baharu, perlu beri ruang kepada golongan muda untuk bergerak lebih jauh dan bawa parti dengan lebih jauh.

Iklan

"Ia bertentangan dengan apa yang kita anggap. Kita ingat mereka nak letak calon muda seperti yang disebut seorang juruterbang, muda, tiba-tiba mereka letak orang yang sudah pencen,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya dakwaan calon dari BN masih belum diumumkan kerana MCA dan UMNO masih belum mencapai kata putus, Ahli Parlimen Bera itu menafikan dakwaan berkenaan.

Iklan

"Tidak ada lah. Kita tidak umum sebab belum masa untuk kita umum. Dah sampai masa kita umum, kita akan umum.

"Sebab semalam cuma pelancaran jentera BN sahaja kita tidak mahu buat dua perkara dalam satu masa jadi kita lancarkan jentera dulu baru umum calon” katanya.

Jelas beliau, kedua-dua parti sudah mencapai persetujuan dan mungkin calon akan diumumkan esok.

"Dah ada kata putus. Mungkin umum esok, saya tidak tahu itu antara Presiden dengan Pengerusi Perhubungan BN negeri yang akan putuskan bila masa yang sesuai.

"Kita kena kukuhkan dari jentera parti dulu. Semalam kita sudah lancarkan jentera parti dan lepas itu pengumuman akan dibuat, tidak perlu besar-besaran macam semalam.

"Pengumuman cuma nak tentukan siapa yang bertanding,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan calon yang bakal diletakkan nanti diharapkan mampu membawa kemenangan kepada BN.