Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklumkan dana JV AS$1 bilion dipecahkan

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dimaklumkan mengenai keputusan untuk memecahkan dana AS$1 bilion untuk syarikat usaha sama (JV) 1MDB-PetroSaudi International Ltd (PSI) kepada AS$300 juta dan AS$700 juta dengan jumlah besar kepada Good Star Ltd.

Sebelum itu, saksi dalam perbicaraan kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, maklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa AS$700 juta telah dipindahkan ke akaun Good Star Ltd, syarikat yang pada mulanya dikatakan sebagai anak syarikat PSI tetapi kemudiannya didedahkan sebagai syarikat yang dikuasai ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Iklan
Iklan

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, persetujuan lembaga pengarah tidak diperoleh sebelum dana berkenaan dipecahkan disebabkan kekangan masa dan"kerana ia perlu dilakukan”.

Semasa ditanya peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas, saksi itu berkata, berdasarkan kepada Resolusi Pekeliling Pengarah( DCR), lembaga pengarah sebelum itu telah meluluskan sejumlah wang (AS$1 bilion) untuk dibayar hanya kepada syarikat JV yang akan menerima satu bilion saham.

Iklan

Shahrol Azral bagaimanapun tidak dapat menamakan individu di sebalik keputusan untuk memecahkan dana tersebut, yang bertentangan dengan DCR.

"Casey Tang (Pengarah Eksekutif 1MDB) meyakinkan saya yang tidak mengapa (dipecahkan) dan kami akan memaklumkan lembaga pengarah kemudiannya," kata saksi pendakwaan itu.

Iklan

Terdahulu, saksi itu berkata pemecahan wang AS$1 bilion itu berlaku selepas Casey membawa dokumen yang ditandatangani CEO dan pengasas bersama PSI, Tarek Obaid untuk meminda beberapa klausa dalam perjanjian JV.

Shahrol Azral berkata, beberapa pindaan itu termasuk perubahan akaun bank JV daripada Banca Della Svizerra Italiana (BSI) Bank kepada JP Morgan dan AS$700 juta akan dibayar kepada PSI.

Saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau mengetahui mengenai pemecahan dana tersebut dan keputusan memecahkan pembayaran AS$1 bilion untuk syarikat JV kepada AS$700 juta dan AS$300 juta sebagai cuai.

Shahrol Azral berkata, beliau tidak berminat untuk membaca laporan 1MDB disediakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) yang telah menuduhnya terlibat dalam pemindahan AS$700 juta dana 1MDB kepada Good Star milik Jho Low pada 2009.

"Saya mengimbas dokumen itu tetapi ia mempunyai maklumat tidak lengkap. DOJ tidak bertanya langsung kepada saya (mengenai 1MDB). Jadi lebih baik saya membiarkan pihak berkuasa Malaysia menyiasat dan melaporkan," katanya..

Menurut laporan itu, Sharol Azral memaklumkan, DOJ menggelarnya ‘1MDB Official Number 2’ manakala Casey Tang ‘1MDB Official Number 1’.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama