Sekali lagi memikul tanggungjawab sebagai mentor dalam program Mentor Milenia 2019, pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi, 35, mahu menyusun strategi baharu agar anak didiknya kali ini bukan hanya membina nama dalam program tersebut sahaja, tetapi lebih daripada itu.
Untuk Mentor edisi terbaharu ini, penyanyi ini mengetengahkan dua protégé berbakat besar iaitu Apex Tajudin, 23, dan Arayn Malik, 22.
"Pertandingan tetap pertandingan, tetapi lebih daripada itu matlamat utama pembabitan saya dalam program ini adalah untuk membimbing pelapis baharu mempersiapkan diri mereka sebelum dan setelah masuk dalam industri.
"Saya tidak mahu mereka hanya dikenali ketika berada dalam program ini sahaja, tetapi hilang entah ke mana setelah program berakhir.
"Jadi daripada awal saya akan bantu mengetengahkan bakat dan kelebihan mereka. Bukan sahaja dalam nyanyian, tetapi dalam segala segi agar mereka pandai bawa diri, sekali gus berdikari dalam industri selepas ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hazama mengakui berdepan cabaran berbeza apabila perlu memenuhi pemintaan semasa daripada peminat milenia.
"Tahun ini saya akan mencari dan mengetengahkan apa yang peminat-peminat milenia mahukan daripada seorang penyanyi agar dapat memenuhi pasaran semasa.
"Saya berdepan dengan cabaran bagaimana untuk puaskan hati peminat muzik. Pada zaman semua orang suka mengkritik secara terbuka laman media sosial ini, saya perlu lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Mengulas tentang penerimaan positif peminat terhadap salah seorang protégénya, Apex Tajudin sehingga video persembahannya menjadi trending baru-baru ini, Hazama melihat ia sebagai sokongan penonton terhadap program ini.
"Bagi saya ia bukan perhatian kepada Apex secara individu sahaja, tetapi kepada program Mentor musim ini secara keseluruhannya.
"Bila ada sesuatu tarikan, mereka akan menonton keseluruhan progam, sekali gus turut memberi pendedahan kepada semua peserta yang terlibat dalam program ini,” ujar Hazama positif.
Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Peneman ini sedang dalam proses mencari material untuk pembikinan single terbaharunya tidak lama lagi.
"Lagu banyak, tetapi untuk memilih yang terbaik dan sesuai dengan saya agak sukar. Apatah lagi saya seorang yang menekankan elemen penceritaaan dalam lagu.
"Bagi saya tidak kisahlah hebat manapun suara seorang penyanyi itu kerana apa yang lebih penting cerita yang dibawakan dalam lagu itu sampai kepada pendengar,” katanya.