SHAH ALAM - Cadangan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya pemberian kontrak diberikan secara rundingan terus tidak seharusnya dipolemikkan.
Penganalisis sosiopolitik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, isu itu menimbulkan kekeliruan kerana tidak dilihat dari perspektif menyeluruh.
Katanya, perkara itu sebenarnya lebih kepada isu pembiayaan parti kerana ia masih tidak jelas di kalangan ahli parti.
"Ia menyebabkan tekanan khususnya di kalangan pemimpin cawangan atau bahagian bagaimana hendak melakukan program politik di kawasan mereka.
"Kita tahu program politik terutama di kawasan luar bandar, mereka memerlukan pembiayaan contoh bumbung bocor, jalan rosak dan sebagainya biasanya perkara ini perlukan pembiayaan," katanya kepada Sinar Harian.
Awang Azman berkata, perkara itu seharusnya dibincang perwakilan ketika cadangan Abdul Rashid dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-2 Bersatu, baru-baru ini.
"Apa yang dimaksudkan Tan Sri Abdul Rashid adalah perlunya ada dana untuk membiayai parti politik dan sudah pasti dana atau kontrak atau diperlukan itu perlu melalui proses yang telus, bukannya sekadar beri sahaja.
"Kita kena ingat, kita tak boleh menafikan hak ahli Bersatu misalnya untuk mendapatkan kontrak kerajaan jika memang layak dan melalui proses yang telus," katanya.
Justeru katanya, kerajaan PH perlu laksanakan dana pembiayaan politik untuk perkhidmatan kawasan yang diwakili oleh orang politik.
"Undang-undang pembiayaan politik ini penting dilaksanakan. Lazimnya sekiranya daoat dilakukan, maka kerajaan akan memperuntukkan dana bergantung kepada saiz parti politik, di samping hasil daripada derma awam.
"Ini untuk elak politik wang, salah guna kuasa dan politik naungan," katanya.