Cara kita tafsir masa

Iklan
Dr Mohd Awang Idris

BEBERAPA hari kebelakangan ini, ada kedengaran sepertinya diperkatakan orang Melayu ini malas. Momokan ini sebenarnya telah lama dimomokkan kepada kita sejak zaman berzaman. Orang Melayu ini malas atau kita sebenarnya sedang keliru untuk memahami konsep masa?

Bayangkan begini. Adakalanya anak-anak kita tidak mahu bersungguh-sungguh belajar. Adakah ini kerana mereka malas atau kerana tidak mampu membayangkan apa yang bakal berlaku di kemudian hari? Kita sebagai ibu bapa sangat berhati-hati apabila anak bujang kita atau anak dara kita memperkenalkan pasangan yang bakal menjadi bakal hidup mereka. Jadi, sebenarnya kita sedang bercakap tentang konsep masa.

Iklan
Iklan

Dalam dunia ini, konsep masa setiap masyarakat dikatakan berbeza-beza. Ada masyarakat tertentu yang sangat mementingkan masa hadapan, ada pula yang mengutamakan masa silam, sebaliknya tidak kurang juga yang hanya mempertimbangkan apa yang berlaku pada masa ini.

Di sesetengah negara, datang lambat bekerja beberapa minit mungkin bukanlah hal yang salah. Sebaliknya, mereka yang bekerja di syarikat Jepun misalnya atau di syarikat swasta tertentu yang perlu tergesa-gesa untuk datang 10 minit lebih awal. Semua ini menggambarkan bagaimana manusia menafsir masa.

Iklan

Orang Jepun dan Amerika Syarikat misalnya, dikatakan sangat berorientasikan masa hadapan. Sebab itulah kelihatannya masyarakat seumpama ini sangat mementingkan ketepatan masa apabila bekerja atau memenuhi temu janji. Mereka yang berorientasikan masa hadapan juga dikatakan berjalan dengan lebih cepat dan melakukan kerja dengan lebih pantas. Malah, dalam setiap tindakan, mereka akan memikirkan apa kemungkinan bakal berlaku untuk generasi akan datang.

Ada pula masyarakat yang dikatakan mementingkan masa silam. Penduduk di India, China dan Britain misalnya dikatakan sangat mengutamakan masa silam. Mungkin disebabkan hal itu jugalah, maka masih banyak bangunan lama kekal dalam ketamadunan mereka.

Iklan

Ada pula masyarakat dunia yang hanya mementingkan apa yang ada sekarang. Bangsa Perancis misalnya dikatakan mempunyai nilai ini. Jadi dalam banyak pertimbangan mereka, yang diutamakan ialah apa yang berlaku sekarang. Suku Piraha yang tinggal di hutan Amazon misalnya dikatakan tidak mempunyai konsep masa dalam kosa katanya. Kaum Kapauku di Papua New Guinea pula dikatakan tidak suka berkerja dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Bagaimana dengan masyarakat di Malaysia? Adakah kita ini mementingkan masa hadapan, masa silam atau hanya berfikir tentang apa yang ada sekarang?

Profesor Geert Hofstede, seorang ahli psikologi Belanda yang memfokuskan kepada budaya manusia mengkategorikan konsep masa kepada dua kategori utama iaitu orientasi jangka panjang yang lebih mengutamakan apa bakal berlaku pada masa hadapan dan orientasi jangka pendek yang lebih banyak bercakap tentang masa silam dan hanya mengutamakan keputusan segera.

Malaysia dikatakan berada dalam orientasi jangka pendek. Walaupun tidaklah diketahui adakah terdapat perbezaan di antara kaum-kaum di Malaysia ini, tetapi kelihatannya orang Melayu memang bersikap sedemikian. Kita lebih banyak bercakap tentang keagungan silam dan seboleh-bolehnya ingin mendapat keuntungan segera dalam banyak hal. Ahli-ahli politik kita khususnya, masih lagi banyak bernostalgia tentang zaman keagungan Melaka, manakala orang-orang tua kita pula masih lagi gemar bercakap tentang zaman Jepun dan ubi kayu.

Ia bukan hal yang salah. Cumanya, apabila selalu sangat tokoh politik kita yang terlibat dengan salah laku rasuah, kita mula bertanya tidakkah mereka kasihan dengan anak cucu mereka yang bakal menanggung musibah pada masa hadapan? Kita juga bertanya mengapa anak-anak muda Melayu kita yang banyak terlibat dengan najis dadah, atau ada sebilangannya yang hanya hidup sekadar bersuka-suka untuk menjadi bintang popular di kaca televisyen.

Akhirnya tahulah kita bahawa konsep orientasi masa ini mungkin telah menyebabkan kita melihat sesuatu dengan cara yang berbeza. Ia bukan salah sesiapa cuma sekadar cara kita menafsir masa.

* Prof Madya Dr Mohd Awang Idris ialah pakar psikologi pekerjaan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM)