LIPIS - [DIKEMASKINI] Suasana gempar di Kampung Baru Cina, Benta, di sini selepas 13 buah rumah di kawasan itu terbakar awal pagi tadi.
Namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.08 minit pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis dan Raub serta lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Gali terlibat dalam operasi pemadaman tersebut.
"Empat jentera serta dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut terlibat dalam operasi itu. Api berjaya dikawal pada jam 2.32 pagi,” katanya lagi.
Difahamkan terdapat beberapa struktur rumah papan, separa papan dan batu di tempat kejadian
Ujarnya, punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan Unik Forensik JBPM Pahang.
"Anggaran kerugian juga sedang ditafsirkan pihak berkuasa berdasarkan keterangan pemilik rumah yang ditemubual,” katanya.
Tambahnya, kejadian juga dimaklumkan kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan daripada pelbagai sudut dilakukan.