PONTIAN - Adalah tidak wajar Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad mengeluarkan kenyataan yang dilihat mempermainkan soal kematian susulan Pakatan Harapan (PH) memilih calon berusia 66 tahun untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Taqiuddin Cheman berkata, soal kematian sepatutnya menjadikan setiap insan yang hidup insaf dan bukannya semakin angkuh.
"Sebagai seorang Muslim, Hasni tidak sepatutnya mempermainkan hal kematian kerana ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
"Boleh jadi yang umurnya 50-an pergi dulu," katanya di sini semalam.
Taqiuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata demikian mengulas kenyataan Hasni sewaktu majlis pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) PRK Tanjung Piai kelmarin.
Hasni yang juga ADUN Benut dipetik berkata,"calon mereka saya kira 66 tahun, tahun depan 67 tahun, saya harap kita tiada PRK lagi. Penat PRK ni."
PH memilih Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.
Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Zulkifly Tasrep berkata, umur mahupun kelulusan bukan jaminan untuk menjadi pemimpin yang baik.
Zulkifly yang pernah melalui pengalaman bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berkata, Karmaine layak bertanding pada PRK Tanjung Piai kerana ketokohan dan pengalaman yang dimiliki.
"Karmaine bukan calon kitar semula walaupun pada PRU14 dia kalah tipis kepada calon BN, Datuk Seri Ahmad Maslan. Ketokohan dan sifat sebagai pemimpin yang dimiliki itu paling penting.
"Karmaine tidak berputus asa hendak bertanding. Bagi saya pemimpin pembangkang ada juga yang dah kalah bertanding lagi," katanya.