Tak sangka, 32 pengunjung berkelah di hutan ditahan

Iklan
Mohd Zarin (kanan) memeriksa kenderaan pacuan empat roda yang disita selepas pemiliknya ditahan kerana berada dalam Hutan Simpan Kekal Berkelah tanpa permit.

JERANTUT - Keseronokan 32 pengunjung termasuk tujuh wanita yang sedang berkelah dan memancing di Hutan Simpan Bekelah bertukar malang apabila kesemua mereka ditahan atas kesalahan memasuki kawasan hutan simpan itu tanpa kebenaran, kelmarin.

Semua individu berusia antara 23 hingga 51 tahun itu memberi alasan tidak tahu bahawa mereka perlu mendapatkan surat kebenaran atau permit khas untuk masuk ke kawasan berkenaan sempena Operasi Deepavali yang dilancarkan di daerah itu selama dua hari berakhir Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD), Mohd Zarin Ramlan berkata, dalam operasi membabitkan anggota Unit Penguatkuasa Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, pihaknya turut menyita 11 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot gentian kaca selain beberapa peralatan menangkap ikan.

Menurutnya, turut disita dapur dan tong gas serta empat unit pemotong kayu bergergaji yang dipercayai digunakan untuk memotong kayu bagi mendirikan khemah termasuk 12 unit tempat tidur.

Iklan

"Kita dapati pengunjung haram ini terbahagi kepada beberapa kumpulan dan mereka masuk ke kawasan hutan simpan berkenaan untuk beriadah bersama ahli keluarga sambil menangkap ikan di Sungai Song dan anak Sungai Tekai," katanya.

Mohd Zarin berkata, individu yang ditahan itu terdiri daripada peneroka Felda Lepar Utara dan ada juga yang datang dari Temerloh, Kuala Lumpur dan Selangor.

Iklan

"Operasi Deepavali ini kali pertama dilakukan dalam hutan simpan ini dan ia dilakukan susulan laporan semakin ramai individu masuk dan berada dalam hutan simpan ini tanpa permit," katanya.

Beliau berkata, mana-mana individu memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit menjadi kesalahan mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

"Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara selama tiga tahun atau keduanya sekali,"katanya.

Menurutnya, tangkapan yang dilakukan itu diharap menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

"Bagi tujuan itu, kami akan menambah lebih banyak papan tanda amaran di semua kawasan hutan simpan di daerah ini bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan individu yang berada dalam hutan simpan tanpa permit dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,"katanya.

Operasi Deepavali itu turut disertai anggota dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dan polis.

Sebelum ini, Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin dilaporkan menahan lapan pekerja syarikat pembalakan warga tempatan dan Indonesia yang berada dalam Hutan Simpan Lesong, Muadzam Shah tanpa permit.