Lebih 19 tan bekalan makanan dihantar ke Pulau Tioman

Iklan
Zulkhairi (empat dari kanan) dan Mohd Zakaria (tiga dari kanan) mengagihkan barangan makanan kepada wakil penduduk untuk beberapa pangkalan hadapan di Pulau Tioman.

ROMPIN - Sebanyak 19.36 tan bekalan makanan kering dihantar ke lima pangkalan hadapan di Pulau Tioman, di sini sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, penghantaran barangan melalui inisiatif kerajaan negeri itu merangkumi lapan jenis barangan dan ia dihantar sejak Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bekalan makanan itu dihantar ke lima buah pangkalan hadapan di pulau peranginan itu termasuk di Kompleks Niaga Kampung Salang, Balai Polis Tekek, balai raya Kampung Juara, Kampung Genting dan Kampung Mukut.

"Antara barangan makanan kering yang dihantar termasuk beras, minyak masak, biskut, teh uncang, gula pasir, kopi, garam halus dan sardin," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim sempena Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana ke Pulau Tioman, semalam.

Zulkhairi berkata, projek itu merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan setiap tahun untuk manfaat kepada lebih 3,500 penduduk di Pulau Tioman terutamanya ketika musim berkenaan.

Iklan

"Selain itu, JKM juga menambah beberapa barangan lain antaranya selimut, toto, tuala dan kit bencana.

"Stok bekalan makanan dihantar ini cukup untuk bekalan penduduk selama tujuh hari ketika terjadinya Monsun Timur Laut." katanya.

Misi penghantaran barangan itu mendapat kerjasama erat daripada Pejabat Daerah Rompin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pembangunan Tioman dan Pajabat Penghulu Tioman.

Secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk barangan keperluan asas dan RM2 juta bagi barangan makanan kering bagi keperluan mangsa terutama mangsa banjir ketika musim Monsun Timur Laut di negeri ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta agensi terlibat dalam menghadapi kemungkinan berlakunya banjir besar di negeri ini, tahun ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, semua persiapan pada tahap yang amat memuaskan termasuk dalam aspek agihan barangan keperluan ke pangkalan hadapan di daerah-daerah yang beliau dimaklumkan 60 peratus bekalan barangan keperluan asas sudah mula dihantar ke -118 pangkalan hadapan di negeri ini sejak April lalu.