KERAJAAN giat melaksanakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2019 bagi menggalakkan rakyat Malaysia membeli barangan buatan Malaysia.
Kempen yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bertujuan meningkatkan semangat cintakan barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia.
Sekretariat KBBM 2019 KPDNHEP berkata, KBBM perlu dilaksanakan dan diperkukuh secara komprehensif kerana cabaran globalisasi perniagaan kini banyak menyumbang kepada pembelian barangan daripada luar negara.
"Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2017 merekodkan perkembangan sebanyak 15.3 peratus import kasar negara kepada sebanyak RM838 bilion berbanding pada 2016.
"Daripada jumlah ini, import barangan penggunaan melonjak kepada 6.1 peratus kepada sebanyak RM71 bilion akibat daripada peningkatan keyakinan pengguna.
"Negara China sebagai rakan dagangan utama, dapatlah diandaikan bahawa teras utama tawaran barangan adalah berpaksikan harga, sebaliknya barangan dari negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah adalah berteraskan kepada kualiti dan prestij,” katanya di sini semalam.
Menurut sekretariat, faktor tersebut menjadikan produk buatan tempatan tersepit di antara kedua-dua gergasi ekonomi itu.
"Langkah kerajaan untuk memperkasa KBBM 2019 adalah tepat dan sangat signifikan bagi mengimbangi cabaran serta tekanan globalisasi ekonomi semasa, khususnya untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan.
"Strategi yang paling berkesan adalah melalui penganjuran ekspo jualan dan promosi barangan buatan tempatan secara terus kepada pengguna yang terbukti dapat meningkatkan kesedaran tentang kewujudan dan kualiti produk buatan tempatan,” kata sekretariat lagi.
Inisiatif strategik dan cadangan pelaksanaan program:
1. Penembusan produk-produk PKS dalam sektor peruncitan
KPDNHEP berhasrat untuk membantu meningkatkan dan menyokong produk-produk buatan tempatan untuk disenarai tetap di pasar raya besar dan kedai serbaneka.
Melaksanakan lebih banyak aktiviti pensampelan dan jualan produk tempatan di pasar raya besar tempatan serta asing di seluruh negara.
2. Jualan dan pemasaran digitalKerajaan akan memanfaatkan kelebihan ekosistem ekonomi digital dan infrastruktur e-dagang melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kempen, promosi, diskaun jualan secara berterusan melalui portal online marketplace utama di Malaysia.
3. Melaksanakan ekspo jualan sempena KBBM dan misi perdagangan luar negara Kementerian dan agensi kerajaan serta penggiat industri dalam sektor perdagangan pengedaran akan merangka, bekerjasama dan melancarkan lebih banyak ekspo jualan KBBM bagi mengetengahkan, mempromosi serta memperluaskan lagi pasaran produk tempatan ke seluruh negara.
Misi perdagangan ke luar negara secara strategik bersama pasar raya besar asing di Malaysia bagi memperkenalkan dan mempromosikan KBBM melalui Program (Malaysian Goes Global/Taste of Malaysia) secara terus di pasaran antarabangsa yang berpotensi seperti di Jepun, Dubai serta China.
4. Melaksanakan program kempen dan promosi KKBBM yang agresif serta komprehensif Kerajaan akan melaksanakan promosi dan kempen berterusan yang inklusif dengan media cetak, elektronik dan media sosial.
KPDNKK berharap semua pihak termasuk agensi kerajaan, rakan strategik, industri dan media menyokong kempen KBBM 2019 untuk memperkasakan lagi produk buatan tempatan agar setanding dengan produk luar negara.