PENGENDALI Inter Milan, Antonio Conte terus cemerlang mengemudi pasukan itu apabila berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas Brescia dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.
Kemenangan itu juga mencipta rekod baharu kelab itu apabila Conte menjadi jurulatih pertama berjaya memastikan Inter menjaringkan gol dalam 13 perlawanan berturut-turut.
Dalam aksi di Stadium Mario Rigamonti itu, Lautaro Martinez dan Romelu Lukaku masing-masing menjaringkan satu gol sebelum jaringan sendiri pertahanan Inter, Milan Skriniar memberikan gol sagu hati kepada Brescia.
Ia menjadi kemenangan kesembilan Inter daripada 13 perlawanan yang sudah dilalui di semua kejohanan dengan empat baki perlawanan berakhir dengan dua seri dan dua kalah.
Kata Conte, kejayaan pasukan itu untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan disumbangkan kerja keras dan ketajaman dua penyerangnya Lukaku dan Martinez.
Kedua-dua mereka amat produktif dengan Lukaku telah menjaringkan tujuh gol daripada 12 perlawanan dan Martinez menjaringkan tujuh gol daripada 13 penampilan.
"Dua penyerang dalam pasukan perlu bergerak selari dan membantu antara satu sama lain. Jadi, jika salah seorang melakukan percubaan, maka seorang lagi perlu membuka ruang atau bersedia untuk melakukan percubaan susulan.
"Lautaro dan Lukaku melakukannya dengan sangat baik. Mereka bekerja untuk pasukan dan berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain," katanya.
Namun, Conte mengakui perjalanan pasukannya masih jauh dan mengharapkan aksi kedua-dua penyerangnya itu terus konsisten.