WALAUPUN ini bukan kali pertama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyertai kejohanan sukan triatlon antarabangsa, Ironman 70.3, namun untuk edisi kali ini ia jauh lebih istimewa.
Kenangan manis ini pastinya akan terus terpahat dalam hati Ahli Parlimen ini kerana beliau satu-satunya peserta kejohanan yang menerima kalungan pingat daripada ibu sendiri selepas berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 113 kilometer.
Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Khairy juga turut berterima kasih kepada penganjur kerana membenarkan ibunya, Datin Seri Rahmah Abdul Hamid sendiri mengalungkan pingat di garisan penamat.
"Segalanya bermula dan berakhir dengan ibu anda,” tulisnya.
Terkenal panggilan ‘Abah’, Khairy berjaya menamatkan sukan yang benar-benar menguji kekuatan dan kecergasan itu dengan berenang sejauh 1.9km, kemudian berbasikal 90km dan larian 21.1km.
Perkongsian gambar tersebut tular di media sosial tersebut yang meraih 45,500 tanda suka dan ramai yang mengucapkan tahniah kepada Khairy di atas kejayaannya menamatkan perlumbaan Ironman.
"Tahniah YB (Yang Berhormat) Khairy atas kejayaan anda di perlumbaan Ironman. Bukan calang-calang pertandingan itu kerana bukan semua orang berjaya menamatkan perlumbaan terbabit," kata Dina Ahmad di Instagram.
Tidak kurang juga, beberapa netizen turut membandingkan pencapaian dan penampilan Khairy yang aktif bersukan itu dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Munir Rashid menulis,"Khairy lebih layak pegang KBS (Kementerian Belia dan Sukan) berbanding Syed Saddiq. Ini baharu contoh kepada anak-anak muda untuk bersukan. Ini tidak asyik fokus ke permainan video sahaja. Apa cerita?"
"Menteri Belia dan Sukan sekarang ni mana... mana itu Syed Saddiq? Dia patutnya sertailah juga, bagi keluar peluh 'jantan' tu," kata Daniel Rahim.