SPR hantar kad pengundi kepada 52,978 pengundi Tanjung Piai

Iklan
Azhar Azizan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengedarkan kad pengundi kepada 52,978 pengundi Parlimen Tanjung Piai, Johor sejak 16 Oktober lepas bagi menggalak dan memudahkan mereka keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah itu meliputi 52,698 pengundi biasa dan 280 pengundi awal.

Iklan
Iklan

"Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut," katanya.

Katanya, pengundi bagaimanapun masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa bersama kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Iklan

Beliau berkata, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui portal SPR di www.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak.

Semakan juga boleh dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR (jarak) SEMAK (jarak) NOMBOR KAD PENGENALAN dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018. - Bernama

Iklan