Padah langgar syarat sah lesen tangkap ikan!

Iklan
Tekong dan tiga awak-awak warga Thailand yang ditahan. Hasil tangkapan ikan yang dirampas.

GEORGETOWN - Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas didapati melanggar syarat sah lesen.

Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot berkenaan ditahan di kedudukan 10.8 batu nautika dari Barat Pasir Pandak di sini pada jam 2.05 petang semalam menerusi Operasi Pertiwi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada bot pukat tunda berkenaan menahan seorang tekong lelaki berusia 60 tahun bersama tiga awak-awak lelaki berusia antara 29 hingga 40 tahun dan kesemuanya merupakan warga Thailand.

"Turut ditemui di dalam bot berkenaan dua gulung pukat tunda, dua unit papan tunda, ikan baja seberat 1,000 kilogram (kg) dan ikan campur seberat 1,000 kg hasil daripada tangkapan mereka.

Iklan

"Kesemua yang ditahan dan bot berkenaan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Pulau Pinang bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hamizan berkata, kesemua nelayan berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari daratan terhampir.

Iklan

Beliau berkata, APMM Pulau Pinang akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan dalam memastikan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di laut dapat dibanteras sebaiknya.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650.