KUALA LUMPUR - Cadangan kerjasama eksplorasi hidrokarbon antara Filipina dan China tidak akan melibatkan kawasan perairan Malaysia berdasarkan Peta Malaysia 1979, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya bagaimanapun berkata, Malaysia akan sentiasa memantau perkembangan berhubung perkara itu bagi memastikan kedaulatan, hak-hak kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
Iklan
Iklan
"Malaysia berpendirian jelas dan konsisten berhubung isu Laut China Selatan bagi memastikan keamanan serta kestabilan serantau berterusan," katanya sambil menambah Laut China Selatan merupakan isu yang sensitif dan kompleks.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) pada sesi jawab lisan berhubung kesan kerjasama eksplorasi gas dan minyak antara China National Offshore Oil Corporation (CNOOC) dan Philippine National Oil Company-Exploration Corporation (PNOC-EC) di Laut China Selatan.
Mengenai keputusan Filipina dan China untuk menjalin kerjasama dalam bidang eksplorasi hidrokarbon melalui PNOC-EC dan CNOOC, Marzuki yakin kedua-dua negara itu membuat pertimbangan sewajarnya dalam mencapai keputusan tersebut.
Mengenai keamanan serantau Laut China Selatan, timbalan menteri itu menekankan keperluan undang-undang antarabangsa dihormati dan menyelesaikan sebarang pertelingkahan secara aman dan mengelak penggunaan kekerasan atau ancaman kekerasan.
Tambahnya, negara anggota ASEAN dan China sedang meneruskan rundingan Kod Tata Laku di Laut China Selatan dengan momentum yang positif. - Bernama