VVIP terlibat aktiviti pemburuan haram: Ketua Polis Negara

Iklan
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Menara Bukit Aman hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan orang kenamaan (VVIP) yang terlibat dalam aktiviti pemburuan haram di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, VVIP berkenaan sama ada orang politik atau pegawai kerajaan tidak akan terlepas daripada proses pendakwaan sekiranya ditangkap di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Tidak ada pengecualian ke atas diri mereka. Tiada keperluan melakukan pemburuan dalam hutan di zaman moden kini.

"Saya akan pastikan senjata api yang mereka guna dirampas sekiranya mereka dapat dikenalpasti," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Op Bersepadu Khazanah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Iklan

Beliau berkata, golongan VVIP yang menjadikan pemburuan haiwan itu sebagai hobi perlu menyahut misi untuk menyelamatkan flora dan fauna.

"Jangan mereka menjadi penyumbang kepada kemusnahan, hentikanlah perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Iklan

Abd Hamid berkata, pihaknya juga mengarahkan dua Batalion Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq melibatkan seramai 1,073 orang untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menjayakan Op Bersepadu Khazanah.

"Mereka akan masuk serta meronda di semua penjuru taman negara demi memelihara alam flora dan fauna," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong usul untuk memasukkan hukuman baharu sebat mandatori kepada pemburu haram.

"Kita berharap sangat peruntukan baharu ini dapat diluluskan dan dibentang di Parlimen. Sudah pasti dengan adanya hukuman sebat mandatori ini ia akan menghindarkan mereka daripada meneruskan perbuatan kejam itu," katanya.