JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengingatkan bahawa pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu ini, ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tempoh masa oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka untuk mengemukakan kertas penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya adalah dari 9 pagi hingga 10 pagi.
"Sekiranya mana-mana bakal calon telah membayar deposit pilihan raya terlebih dahulu, maka perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, calon yang bertanding mewakili mana-mana parti politik diingatkan supaya mengemukakan surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili semasa menyerahkan kertas penamaan calon.
Menurutnya, SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
SPR katanya, menyeru kepada semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan mengikut Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] mengenai larangan semasa Hari Penamaan Calon. Antara lainnya, penggunaan apa-apa alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan dan vesel tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan.
"Orang ramai serta penyokong parti dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon. Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sepatutnya,” tegasnya.
Menurut beliau, parti politik yang terlibat adalah bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa untuk menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan dalam suasana yang selesa dan aman. - Bernama