Aidil kaji aksi lama JDT

Iklan
Aidil (tengah) ketika ditemui media sebelum sesi latihan di Stadium Darul Aman petang tadi.

KEGAGALAN Kedah yang tidak mampu menyerap tekanan yang dilakukan JDT lebih awal dilihat antara faktor kekalahan pasukan tersebut pada final Piala Malaysia 2017 menyaksikan mereka tumpas 2-0.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau telah meneliti rekod perlawanan tersebut dan ulangan final Piala Malaysia 2019 di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini perlu dilakukan sebaik mungkin selain mengelakkan kesilapan selepas mereka kehilangan dua tonggak di bahagian pertahanan iaitu Renan Alves dan Rizal Ghazali.

Iklan
Iklan

Jelasnya apabila berdepan pasukan pilihan yang kuat seperti Harimau Selatan, semua pemain perlu memberikan segala-galanya malah perlawanan ini juga adalah penutup tirai bagi Liga Malaysia 2019.

"Pada final Piala Malaysia 2017, saya lihat Kedah tewas disebabkan gagal 'settle down' awal pada perlawanan tersebut. Ini final, perlu memberikan aksi terbaik kerana ini adalah perlawanan terakhir pada musim 2019," katanya ketika ditemui di Stadium Darul Aman petang tadi.

Iklan

Tambah Aidil, beliau sudah mempunyai bayangan pemain-pemain yang akan mengisi kekosongan Renan, Rizal serta kesebelasan utama namun masih lagi sedang diperhalusi sepanjang tempoh baki persediaan yang ada sebelum mereka berlepas ke Bukit Jalil.

"Menang ataupun tewas pada perlawanan akhir ini, saya tetap perlu beri kredit kepada semua pemain dan pengurusan atas pencapaian berjaya mara ke pentas final buat kali kedua musim ini. Pada saya kita perlu terus bertenang dan fokus pada perlawanan ini," katanya.

Iklan

Sementara itu seorang lagi pemain pertahanan Lang Merah, Shakir Hamzah menyifatkan pentas dan aura Piala Malaysia adalah lebih besar dari Piala FA dan tonggak itu bersedia untuk memberikan segala-galanya.

Menurutnya, fokus pasukan langsung tidak tergugat walau kehilangan Renan dan Rizal kerana masih ada pemain Kedah yang lain mampu mengisi kekosongan tersebut dan memberikan aksi terbaik bagi menyaingi JDT.

"Paling penting kita perlu bersatu hati, bekerjasama dan nawaitu perlu sama. Bagi saya memang JDT lengkap di semua posisi namun bola itu bulat dan di atas padang apa-apa boleh saja terjadi," katanya.

Shakir Hamzah.