Wee Jeck Seng calon BN di PRK Tanjung Piai

Iklan
Jeck Seng (tengah) diapit Hasni (tiga dari kanan) dan Ka Siong (lima dari kanan) ketika pengumuman Calon BN di Command Centre BN Tanjung Piai, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU - Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sah dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Iklan
Iklan

Keputusan itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersama Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong di Command Center BN Pontian di sini sebentar tadi.

Hasni berkata, pemilihan Jeck Seng sebagai calon bagi PRK berkenaan juga merupakan keputusan sepakat yang telah dicapai bersama seluruh kepimpinan BN.

Iklan

"Keputusan yang dibuat kita ambil berdasarkan suasana, kita teliti sebelum membuat sebarang keputusan. Ia juga sebagai kata sepakat ditunjukkan kita sebagai parti yang bersama-sama bersemangat untuk menumbangkan PH.

"Jadi hasil daripada keputusan dan penelitian ini, kita sedar dan yakin bahawa Jeck Seng adalah calon paling sesuai untuk bertanding di Tanjung Piai,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Calon BN di Command Centre BN Tanjung Piai di sini hari ini.

Iklan

PRK Tanjung Piai bakal berlangsung pada 16 November berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Untuk rekod, Jeck Seng merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam kabinet ketika BN menjadi kerajaan.

Anak jati kelahiran Pontian itu dilahirkan pada 20 April 1964 (55) dan memulakan karier politiknya dengan menyertai MCA pada tahun 1989 sebelum bertanding kerusi DUN Pekan Nanas dan menang dengan mengalahkan Tan Hang Meng (DAP) Pada PRU-11, Mac 2004.

Rekod cemerlang Jeck Seng diteruskan pada PRU-12 apabila menang sebagai Ahli Parlimen Tanjong Piai dengan mengalahkan Ahmad Ton (DAP) dengan majoriti 12,371 undi.

Beliau kemudiannya kekal menjadi Ahli Parlimen Tanjong Piai untuk penggal kedua setelah berjaya menewaskan Mahdzir Ibrahim (DAP) dengan majoriti 5,457 undi sebelum tewas kepada Md Farid Md Rafik (PH-Bersatu) pada PRU-14.