BANJIR besar yang berlaku pada tahun 2014 pasti tidak akan dilupakan terutama bagi mereka yang tinggal di Pantai Timur. Negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang ketika itu ibarat dilanda tsunami.
Segala-galanya musnah sekelip mata. Skala kemusnahan di Kelantan bagi infrastruktur dan aset awam sahaja dianggarkan RM200 juta, tidak termasuk harta persendirian atau perniagaan.
Di Pahang, banjir yang berlaku pada tahun itu dikatakan lima kali ganda besarnya berbanding tahun 1926, 1967, 1971 dan 1973. Minggu ini selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan musim tengkujuh dijangka bermula 24 Oktober lalu sehingga Mac tahun depan, taburan hujan dilihat semakin meningkat.
Malah, penduduk di beberapa kawasan di Johor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor sudah mula terkena tempiasnya. Bilangan mangsa banjir dilaporkan meningkat daripada seramai 1,676 orang kepada 1,974 orang sehingga kelmarin.
Banjir bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda tetapi turut berkait rapat dengan emosi. Melihat keadaan kediaman yang kucar-kacir, emosi mana yang mampu bertahan. Itu belum ditambah dengan tragedi meragut nyawa.
Namun, pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai persediaan kerajaan menghadapi banjir tahun ini sedikit sebanyak mampu melegakan perasaan rakyat.
Persiapan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri termasuk persediaan yang dibuat oleh agensi-agensi terlibat seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) wajar dihargai.
Orang ramai juga diminta sentiasa bersedia dan menggunakan aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat berkaitan amaran cuaca dan ribut petir setiap setengah jam dan tiga jam awal. Bersiap sedialah dan berdoa moga sejarah terburuk banjir tahun-tahun sebelum ini tidak kembali berulang.