SUBANG - Kumpulan terakhir Batalion Malaysia 850-6 (Malbatt 850-6) tiba di tanah air hari ini selepas menamatkan misi pengaman selama setahun di Lubnan.
Kumpulan seramai 221 pegawai dan anggota itu tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pada jam 5 petang dan disambut Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd Othman TUDM yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki.
Kontinjen Malbatt 850-6 yang keseluruhannya dianggotai 850 anggota memulakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) pada 6 September 2018 dan menamatkan misi itu 17 Oktober lepas sebelum menyerahkan tugas kepada MALBATT 850-7 yang diketuai Kolonel Khairul Anwar Soib.
Kumpulan pertama, kedua dan ketiga telah kembali ke tanah air secara berperingkat bermula 2 Oktober lepas.
Kamarulzaman dalam ucapan amanatnya menzahirkan tahniah kepada anggota dan pegawai yang melaksanakan misi dengan cemerlang di Lubnan sekali gus mengharumkan negara.
"Prestasi cemerlang yang ditunjukkan serta pengorbanan anggota Malbatt dalam menjayakan misi ini amat besar nilainya...hakikat ini diperakui kerajaan kerana ia adalah satu bentuk sumbangan yang mampu kami hulurkan kepada dunia luar atas prinsip menjunjung keamanan sejagat.
"Saya berharap kejayaan dan pengalaman sepanjang menjalankan misi ini akan menjadi pemangkin semangat ATM untuk terus berbakti demi negara," katanya.
Sementara itu, pegawai yang berkhidmat di 7 Rejimen Renjer Diraja Mekanis, Kapten Mohd Noor Hafiz Mohamed Rashid yang menyertai misi itu menzahirkan rasa syukur dapat menyelesaikan misi dengan jaya dan kembali ke tanah air dengan selamat.
Menurutnya, selama setahun sebulan berada di negara bergolak itu, sudah tentu ada rasa bimbang namun ATM mempunyai Prosedur Operasi Standard dalam menangani setiap permasalahan dan anggota bergerak mengikut arahan.
"Sudah tentu ada perasaan bimbang tetapi kami bergerak mengikut arahan dan kawasan yang bergolak itu tidak melibatkan kawasan operasi kami," katanya yang merindui anak lelaki tunggalnya yang kini sudah berusia 21 bulan.
Mohd Noor Hafiz berkata, walaupun berjauhan dengan keluarga, perkembangan mengenai mereka dapat diketahui melalui panggilan telefon setiap hari. - Bernama