SHAH ALAM - Walaupun tindakan 'abang botak' yang menghentak kereta menggunakan topi keledar kerana berang dihon sudah mendapat pembalasan mahkamah, namun ia masih tidak menjadi pengajaran kepada pengguna jalan raya lain.
Terbaru, tular di media sosial seorang pemandu kereta Proton Satria bertindak menghentak sebuah bas dan bahagian cermin kenderaan itu menggunakan satu objek keras tanpa diketahui puncanya.
Kejadian itu dirakam oleh saksi yang merupakan penumpang bas terbabit dan video tersebut tular di laman sosial.
Menerusi posting yang dimuat naik di laman Facebook, kejadian dikatakan berlaku pada awal pagi hari ini di Lebuhraya Kesas susur keluar ke Alam Impian.
Berdasarkan tiga klip rakaman yang dibuat, kelihatan bas tersebut berada di belakang kereta Proton Satria terbabit.
Pemandu Proton Satria terbabit dilihat beberapa kali memperlahankan kenderaannya, memotong dan berada rapat di hadapan bas berkenaan dan kerap menekan brek.
Tidak lama kemudian, dua lelaki keluar daripada Proton Satria itu menjerit dengan nada marah sambil memukul bas berkenaan dengan objek keras.
Bagaimanapun, punca kejadian sebenar masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung insiden berkenaan.
"Kita masih dalam usaha mengesan individu yang terlibat dan minta mangsa datang buat laporan," katanya.