SHAH ALAM - Perkongsian gambar anak lelaki anggota polis, Muhammad Syakiran Shamsuddin dan isterinya, Nurul Ashikin Kamaruddin berada di samping jenayah ibu bapanya mengundang rasa hiba.
Menjadi yatim piatu dalam sekelip mata, Muhammad Arfan Ziqri yang berusia dua tahun telah kehilangan kedua ibu dan bapa serta sepasang adik kembar yang masih di dalam kandungan apabila mereka maut dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur semalam.
Beberapa keping gambar yang dikongsi Nur Fitri Damia di laman Facebooknya menunjukkan Muhammad Arfan berada rapat di sebelah keranda ibu dan ayahnya sebelum dikebumikan.
Dapat diperhatikan walaupun masih lagi kecil dan tidak mengerti apa itu kehilangan, Muhammad Arfan Ziqri sudah mula merindui kedua ibu bapanya apabila dilihat dia berlegar-legar di sebelah keranda jenazah.
Jenazah Nurul Ashikin dan Muhammad Syakiran dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Repek Hilir, Bachok.
Perkongsian gambar tersebut kini tular di media sosial dan rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan sedih serta mendoakan roh kedua-dua mereka dicucuri rahmat.
Muhammad Afzan menulis:"Ya ALLAH, sebak dan menangis diriku ini melihat anak yang masih kecil tidak tahu apa-apa telah kehilangan insan yang paling disayanginya. Semoga roh ibu dan bapanya di tempatkan di kalangan orang-orang beriman, Amin,".
"Salam takziah atas kehilangan. Semoga yang menjadi penjaga kepada kanak-kanak tersebut menjaganya dengan sebaik yang mungkin kerana dia tidak mengerti bahawa dia telah kehilangan ibu bapanya buat selamanya," luah Nizam Zamri di Facebook.