SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa kurang prihatin dengan nasib golongan petani dan pekebun ekoran kejatuhan harga komoditi negara.
Katanya, selepas harga sawit jatuh, kini kelapa pula turut menerima tempias yang sama.
"Sawit belum naik harga, kelapa pula jatuh harganya?
"PH buat apa? Masih tak tahu buat kerja?," soalnya menerusi ciapan di Twitter peribadinya hari ini.
Ahmad turut berkongsi laporan berita akhbar tempatan tentang keluhan pekebun kelapa yang resah akibat kejatuhan harga kelapa sejak Ramadan lalu sehingga menjejaskan pendapatan mereka.
Ahmad menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan bersepadu segera bagi memulihkan harga kelapa dan komoditi lain.
"Prihatinlah kepada susah hidup petani, pesawah, peladang, penoreh, peneroka, penternak, nelayan dan lain-lain rakyat di desa," katanya.
Trend kejatuhan harga kelapa sawit sejak pertengahan tahun lalu yang menimbulkan keresahan ramai terutama warga Felda kerana pendapatan mereka merosot teruk.