LIMA muka baharu yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan dipilih berdasarkan prestasi semasa para pemain tersebut.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan, dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) - Afiq Fazail dan Syazwan Andik Ishak serta tiga pemain Kedah - Baddrol Bakhtiar, Farhan Roslan dan penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim beraksi baik bersama pasukan masing-masing sehingga berjaya memikatnya untuk berada dalam senarai 26 pemain.
"Seperti Baddrol, dia mempunyai pengalaman yang banyak pernah mewakili skuad negara manakala Afiq menunjukkan prestasi cemerlang ketika bermain bersama JDT dalam beberapa perlawanan,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, FAM mengeluarkan senarai 26 pemain untuk menyertai kem latihan pusat yang akan bermula Ahad ini. Dalam kenyataan itu, Cheng Hoe turut memanggil kembali perancang Pahang, Nor Azam Abdul Azih dan penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi yang sebelum ini tercicir daripada senarai akhir 23 pemain ketika menentang Vietnam di Hanoi akibat kecederaan.
"Kehadiran semula beberapa pemain terbabit termasuk Afiq dan Baddrol yang baru dipanggil akan memberikan lebih banyak pilihan pemain kepada saya untuk diturunkan dalam tiga perlawanan akan datang,” ujarnya.
Pada masa sama, Cheng Hoe membuat keputusan menggugurkan pemain tengah, Akram Mahinan (PKNS FC), Abdul Halim Saari (Selangor); penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak) dan pemain pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria daripada senarai 26 pemain tersebut.
Enam pemain pula diletakkan dalam senarai bersedia jika ada mana-mana dalam kalangan 26 pemain tersebut disahkan mengalami kecederaan iaitu Irfan dan Akram serta penjaga gol, Haziq Nadzli (JDT), Rizal Ghazali (Kedah), J Partiban (Perak) dan Jafri Firdaus Chew (PKNS FC).
Harimau Malaya akan menentang Tajikistan dalam perlawanan persahabatan pada 9 November sebelum dijadualkan mengharungi dua aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.