SHAH ALAM - Dapur pusat bagi premis makanan Ah Cheng sudah menerima sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Bagaimanapun, Bahagian Hab Halal Jakim menerusi satu kenyataan berkata, premis berkenaan yang didaftarkan atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd belum menjadi pemegang sijil itu untuk seluruh rangkaian kedainya.
"Premis atau produk makanan yang mempunyai sijil halal bukan sahaja dijamin halal, malah suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard, peraturan dan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.
"Pihak kami menyarankan pengguna mengutamakan produk atau premis makanan yang telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya tampil membuat penjelasan itu susulan media sosial Halal Malaysia dihujani dengan pertanyaan awam berkenaan status halal premis makanan Ah Cheng Laksa.
Menurutnya, ia berpunca daripada tular yang mendakwa premis makanan tersebut menggunakan ramuan yang tidak halal dan tidak sesuai dikunjungi pelanggan beragama Islam.
"Pengguna juga dinasihatkan lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sesama," katanya.
Bagi mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.