KUALA LUMPUR - Operasi Bazaria Wangsa Maju yang dijadualkan bermula malam semalam lengang susulan tapak menempatkan 500 khemah tersebut belum memenuhi piawaian yang dikehendaki peniaga.
Turapan jalan tidak sempurna, ditakungi air selain tanah mendap antara punca pemindahan tapak baharu penjaja Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota itu tertangguh.
Peniaga mengeluh kerana terpaksa menanggung kerugian dan tidak boleh berniaga mengikut jadual ditetapkan.
Peniaga makanan, Hamid Khamis, 52 berkata, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk berniaga malam ini (malam tadi) selepas mendapati tapak baharu itu dalam keadaan belum cukup sempurna untuk memulakan operasi.
"Macam mana nak meniaga kalau tak ada air, tak ada longkang dan jalan mendap? Selepas seminggu sepatutnya malam ini saya mula berniaga tapi lepas tengok keadaan tapak, memang terpaksa tangguh lagi.
"Keadaan tapak yang tidak sempurna akan memberikan persepsi tidak baik dan boleh menyebabkan pelanggan lari. Harap masalah ini boleh diselesaikan segera oleh DBKL," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Projek DBKL, Norzaini Nordin berkata, bazaria itu boleh memulakan operasi seperti ditetapkan sementara masalah di tapak diselesaikan secara berperingkat.
"Cuaca hujan sedikit menyukarkan kerja pembaikan tanah mendap selain kerja penurapan tapi peniaga dinasihat masuk ke tapak baharu terlebih dahulu dan kerja pembaikan akan dilakukan secara berperingkat di luar waktu operasi bazaria," katanya.
Dalam pada itu, segelintir peniaga dan penduduk setempat membuat bantahan aman menggesa operasi Bazar Larut Malam Danau Kota dikekalkan sehingga tapak kekal bersebelahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Wangsa Maju siap sepenuhnya 28 bulan dari sekarang.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Danau Kota, Mohd Yusof Ahmad meminta operasi penjaja itu dikekalkan di tapak asal sementara tapak baharu dijadikan tempat letak kereta.
"KRT sebulat suara mahu tapak baharu (Bazaria Wangsa Maju) dijadikan parkir yang boleh meletakkan kenderaan pengunjung dan peniaga bagi mengelakkan kesesakan.
"Jika Bazaria Wangsa Maju diteruskan maka masalah penduduk tidak akan selesai malah mungkin menjadi semakin buruk selepas tiada lagi pengawal lalu lintas yang dibayar penganjur," katanya.
Bazaria Wangsa Maju yang terletak beberapa meter dari tapak asal dibangunkan DBKL sebagai tapak sementara sehingga bangunan kekal di JPJ Wangsa maju siap.
Usaha itu diambil sebagai menyelesaikan aduan kacau ganggu dan halangan di kawasan berkenaan selain dakwaan untung atas angin diperolehi penganjur yang membuat kutipan tinggi kepada peniaga.