PONTIAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menegaskan sekarang masa untuk bekerja bukan menilai calon daripada Barisan Nasional (BN) atau parti lain yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.
Pengerusinya, Mazlan Bujang berkata, tumpuan pada PRK Tanjung Piai banyak diberikan perhatian kepada calon yang diletakkan Pakatan Harapan (PH) dan BN menerusi parti komponennya MCA.
"Apa juga yang berlaku dengan UMNO, kita tidak bimbang sebab PH mempunyai kekuatan yang tersendiri. Namun pada pandangan saya ada kerenggangan di antara MCA dan UMNO.
BN mengumumkan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon BN pada PRK Tanjung Piai.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas yakin calon MCA boleh menang
Keputusan itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersama Presiden MCA, Datuk Seri Wee malam tadi di Pusat Gerakan Utama BN di Jalan UMNO.
Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon Bersatu yang mewakili PH.
Pengumuman itu dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin pada majlis memperkenalkan calon dan pelancaran jentera PH bagi PRK Tanjung Piai di Dewan Hai Kee Isnin lalu.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pencalonan pada 2 November manakala pengundian pada 16 November.