Sudah tiba masa angkat martabat karier bomba: Menteri

Iklan

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji penubuhan Suruhanjaya Perjawatan Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berperanan sebagai badan bebas untuk melantik, menyusun semula perjawatan dan menyerap anggota bomba sambilan sebagai bomba sepenuh masa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, tiba masanya karier itu dimartabatkan bagi menaikkan semangat dan moral selain sebagai elemen motivasi kepada anggota untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang.

Iklan
Iklan

"Perkara ini (penubuhan jawatankuasa) perlu dipertimbangkan dan dikaji, ia adalah wajar. Sebelum ini, kerajaan meluluskan pemberian Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba RM200 sebulan.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) mengenai tindakan kementerian bagi menjaga kebajikan anggota bomba di negara ini.

Iklan
Zuraida

Menjelas lanjut, Zuraida berkata, pihaknya akan terus memastikan aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan warga anggota bomba sentiasa dijaga dan terpelihara dengan mengkaji beberapa keperluan lain termasuk elaun tugas pasukan khas serta kadar Bayaran Insentif Bomba yang bertugas secara syif.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu status kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Zuraida berkata perkara tersebut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan siasatan.

Iklan

"Inkues telah dilakukan dan kini kes Muhammad Adib di bawah PDRM. Kita serah kepada PDRM untuk kenal pasti siapa yang menyebabkan kematian Muhammad Adib,” katanya.

Pada 27 September lepas, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember tahun lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya. - Bernama