Pekerja salon dijel 16 bulan ugut, cederakan rakan serumah

Iklan
Tertuduh, Nur Qistina Abdullah, 23, dipenjara 16 bulan selepas mengaku salah mengugut dan mencederakan rakan serumahnya menggunakan pisau.

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja salon kecantikan dijatuhi hukuman 16 bulan penjara di Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana mengugut dan mencederakan rakan serumahnya menggunakan pisau selepas bengang wanita itu tidak menjaga kebersihan dapur.

Tertuduh, Nur Qistina Abdullah, 23, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengacukan pisau ke leher mangsa, Nurbati, 44, yang merupakan seorang warga Indonesia di rumah sewa mereka di Wisma Yien Tien, di Jalan Balik Bukit di sini pada jam 8.18 malam, 29 Oktober tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap mangsa di alamat, waktu dan hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman 16 bulan penjara bagi setiap pertuduhan sebelum memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh ada menegur sikap mangsa yang tidak mahu menjaga kebersihan dapur di rumah sewa mereka.

Tertuduh gagal mengawal perasaan marahnya sebelum mengambil pisau lalu mengacukan ke leher mangsa dan seterusnya bertindak menoreh lengan kiri wanita itu dengan senjata tersebut.