MESKIPUN hanya sembilan jam dapat bersama anak yang 'dipinjamkan' semula, penyampai radio THR Gegar, Shah Muhammad menyifatkan ia suatu 'keajaiban' dan anugerah ALLAH buat dirinya dan keluarga.
Shah memberitahu, semalam doktor di sebuah hospital di Seremban mengesahkan anaknya yang diberi nama Aliff Khalifah, telah meninggal dunia apabila bantuan alat pernafasan dihentikan jam 5 petang.
Namun keajaiban berlaku apabila selepas dipeluk kira-kira 10 minit, bayi berkenaan bernafas kembali.
"Doktor mengatakan bayi punya oksigen dah lemah...Ya masa kami tengok memang dah lemah. Jadi kami reda bayi dah tiada...
"Bangcah (Shah) dan isteri peluk untuk tatapan terakhir dan doktor yang sahkan bayi pergi jam 5pm.
"Dalam kami peluk 10 minit tiba-tiba bayi bernafas semula sehingga la kami dapat bawa bayi ke rumah. Keadaan dia lemah tetapi kuasa ALLAH," tulisnya di Instagram.
Namun hari ini, dalam satu hantaran terbaharu, Shah memberitahu anak syurganya itu telah kembali menemui sang Pencipta pada jam 2 pagi tadi.
"Innalillahiwainnailaihirojiun, 27.10.2019 hingga 31.10.2019 jam 2 pagi. Kembalinya anak syurga. Dia nak bersama keluarga dulu... Al-Fatihah," tulisnya.
Difahamkan, Aliff dilahirkan pada Ahad lalu di Seremban namun mengalami komplikasi pada jantung sebelah kiri.
Semua peminat Shah mengucapkan takziah di atas pemergian anak syurga itu dan mendoakan semoga dia dan keluarganya terus tabah mengharungi dugaan ini.