SUNGAI SIPUT- Seorang pemandu yang didakwa 111 pertuduhan meliwat dan mencabul tiga anak perempuannya semalam sekali lagi didakwa dengan tujuh pertuduhan lain di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
Penjawat awam berusia 42 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan ugutan bunuh dan empat tuduhan mencederakan isterinya antara 26 Februari hingga 7 Mei lalu di rumah mereka di Sungai Siput.
Tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau ke muka isterinya dan mengugut membunuh mangsa berusia 37 tahun pada 26 Februari, 2 Mac dan 7 Mei lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bapa kepada enam anak itu turut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan mencekik leher, menghentak kepala ke dinding, menampar muka dan menendang mangsa pada 17 Mac, 26 dan 27 April serta 4 Mei lalu.
Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama dan boleh dihukum maksimum penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norlida Ishak.
Norhabsarina kemudiannya tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh setelah mengambil kira faktor keselamatan mangsa dan saksi kes yang juga isteri serta anak-anak tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian semalam melaporkan tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar dengan 104 pertuduhan meliwat isterinya dan tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga anak perempuannya yang berusia 12,10 dan lima tahun.
ARTIKEL BERKAITAN Lelaki didakwa 111 pertuduhan liwat isteri, cabul anak