JOHOR BAHRU - Setiausaha DAP negeri, Tan Hong Pin menegaskan kepada para Adun dan Ahli Parlimen agar jangan menyalahguna dan memanipulasi peruntukan kawasan yang disediakan oleh kerajaan.
Menurutnya, amalan penyalahgunaan peruntukan sering berlaku dalam urusan melantik kontraktor dan pembekal untuk meraih komisen yang tinggi.
"Saya selaku Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri ini mengutuk amalan dan tindakan sedemikian.
"Malah, langkah meneruskan amalan yang tidak berintegriti ini akan merencatkan semangat Malaysia baharu kelak.
"Justeru itu, saya menyeru rakyat yang telah menggerakkan arus perubahan untuk terus aktif dalam memastikan Malaysia ini berwibawa dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hong Pin yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri berkata, sebarang penyalahgunaan tersebut boleh dilaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Pejabat Menteri Besar Johor.
"Dengan merujuk kepada laporan semasa, kerajaan negeri di bawah PH tidak akan sesekali berkompromi malah komited untuk bertindak dengan tegas mengikut lunas-lunas perundangan yang sewajarnya.
"Mandat yang kukuh diberikan rakyat kepada Kerajaan PH bermula daripada kebinasaan integriti sepanjang pentadbiran BN dengan berpaksikan kepada aspek bersih, amanah dan merakyat," katanya.
Beliau berkata, penegasan ini juga selari dengan kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang bahawa tindakan melencongkan peruntukan dalam bentuk komisen sedemikian adalah amalan terdahulu di bawah BN dan dilarang sama sekali pada hari ini, di bawah PH.
"PH yang dipilih oleh rakyat secara demokratik pada tahun lalu harus berjiwa besar dalam membanteras amalan politik naungan, politik wang dan politik kotor.
"Buat rakyat Johor, saya amat menggalakkan semua untuk berani tampil memantau dan melaporkan jika terdapat sebarang amalan meragukan yang bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undangan (rule of law).
"Mari kita berganding bahu membersihkan tanah air tercinta daripada sebarang bentuk amalan buruk selama 60 tahun ini," katanya.