KUALA TERENGGANU - Seorang pemaju utama di tapak projek pembinaan Politeknik Hulu Terengganu, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membenarkan seorang imigran haram tinggal di premisnya di Hulu Terengganu.
Bukan itu sahaja, tertuduh, Nik Hanna Yasmin Nik Muhammad, 36, turut berdepan tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hakim, Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membenarkan seorang lelaki warga Bangladesh, Mohammadur Rahman Mobarek Ali, 26, berada di premisnya di tapak pembinaan Politeknik Hulu Terengganu, Hulu Terengganu, kira-kira jam 3.20 petang pada 14 Julai lalu.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.
Selain itu di mahkamah sama, seorang pemilik kedai makan mengaku bersalah membenarkan enam imigran haram tinggal di premis kedai makan miliknya pada 24 September lalu.
Tertuduh, Nik Man Awang, 67, mengaku bersalah membenarkan enam warga Thailand masing masing berusia antara 18 tahun hingga 57 tahun tinggal di premis kedai makan Nik Man Awang, Dungun kira-kira jam 8.40 malam pada 24 September lalu.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 November depan sebagai tarikh jatuh hukum selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Noraznie Alias manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.