IBU bapa merupakan individu yang dijadikan oleh ALLAH SWT sebagai penyebab kewujudan setiap manusia di dunia ini. Mereka telah menabur banyak kebaikan dan bakti yang tidak terhitung kepada anak-anak termasuk mendidik dan membesarkan kita hingga dewasa.
Ibu bapa sanggup bersusah payah dan mengorbankan diri sendiri demi kebaikan anak-anak. Oleh sebab itu, ALLAH SWT memerintahkan kepada setiap hamba-NYA agar wajib berbuat baik terhadap kedua ibu bapa.
Firman ALLAH SWT: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu.” (Surah al-Isra’, ayat 23)
Selain itu, ALLAH melarang keras terhadap sikap penderhakaan ke atas kedua-duanya dan menyakiti hati mereka.
Malah, wajib si anak melayan ibu bapanya dengan layanan yang baik, sepertimana firman ALLAH dalam ayat yang sama:"Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan"Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Pesanan Baginda
Oleh itu, restu dan reda ibu bapa dalam kehidupan seseorang itu sangat penting kerana ia sebagai punca untuk mendapatkan keredaan ALLAH SWT.
Sabda Rasulullah SAW:"Reda ALLAH bergantung kepada reda ibu bapa, manakala kemurkaan ALLAH bergantung kepada kemurkaan ibu bapa.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Maka jelaslah sepertimana dalam hadis tersebut, baginda SAW menyatakan, jika ibu bapa atau salah seorang daripada mereka murka terhadap anaknya, itu bermakna ALLAH juga murka terhadap anak itu. Selain daripada melayani ibu bapa dengan baik, seseorang itu wajib juga mentaati perintah kedua-duanya. Hal itu sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui pesanan baginda kepada Abu al-Darda’ RA.
Sabda baginda SAW: "Dan taatilah kedua ibu bapamu, meskipun mereka memerintahkan kamu agar keluar dari duniamu, maka keluarlah demi mereka berdua.” (Riwayat Ibnu Majah)
Taat, buat baik kepada ibu bapa
Bayangkan, baginda SAW memerintahkan agar taat kepada ibu bapa meskipun hanya berkaitan dengan duniawi seorang anak, apatah lagi perkara yang berkait rapat dengan hak-hak kedua ibu bapa. Berdasarkan hadis di atas, Imam al-Bukhari menyebut dalam karyanya al-Adab al-Mufrad bahawa setiap anak wajib berbuat baik dan mentaati kedua ibu bapanya selagi mana ia tidak melibatkan perkara maksiat atau melanggar perintah ALLAH.
Ini bermakna, jika ibu bapa memerintahkan anaknya agar melakukan maksiat atau meninggalkan perintah ALLAH, maka wajib si anak mengingkari perintah itu. Contohnya, ibu bapa melarang anak daripada menunaikan ibadah haji atau mendirikan solat.
Menurut Imam al-Ghazali, kebanyakan ulama berpendapat, wajib si anak mentaati kepada ibu bapanya walaupun dalam perkara syubhah, apatah lagi perkara-perkara yang harus.
Ini bermakna, hukum asal sesuatu itu harus (tidak wajib) menurut syarak boleh bertukar menjadi wajib jika itu yang diperintahkan oleh ibu bapa. Contohnya, membeli makanan untuk ibu bapa hukumnya harus, tetapi apabila diperintahkan oleh kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka, maka ia menjadi kewajipan kepada si anak selagi mana dia mampu untuk melakukannya.
Bagi mereka yang ibu bapanya sudah kembali ke Rahmatullah, masih ada peluang yang besar bagi si anak untuk berbakti orang tuanya yang sudah tiada.
Ia disarankan sendiri oleh Rasulullah SAW sendiri melalui hadis sahih yang mana seorang lelaki bertanya kepada baginda: "Adakah masih ada peluang untuknya berbakti kepada ibu bapanya yang sudah tiada?” Lalu Nabi Muhammad SAW menjawab: "Ya, ada empat perkara (cara), iaitu mendoakan dan memohon pengampunan untuk kedua-duanya, melunaskan wasiat mereka, memuliakan sahabat karib mereka dan menghubungkan tali silaturahim saudara-mara mereka yang tiada hubungan pertalian darah (melalui penyusuan dan perkahwinan seperti ipar-duai dan anak-anaknya).” (Riwayat Abu Daud)
***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis.