Pemuda UMNO desak Maszlee beri penjelasan PSP, Program Baucar Buku

Iklan
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak penjelasan segera diberikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kepada rakyat berhubung isu Program Sarapan Percuma (PSP) dan Program Baucar Buku yang diumumkan sebelum ini oleh kerajaan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penjelasan itu perlu ekoran kegagalan Menteri Pendidikan menjawab soalan lisan dibangkitkan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong kelmarin (dalam Dewan Rakyat).

Iklan
Iklan

"Kegagalan beliau (Maszlee) menjawab soalan mengenai status PSP amat mengejutkan. Penjelasan perlu diberikan kerana ia melibatkan harapan rakyat. Kita tidak mahu rakyat ditipu sekali lagi lantaran kegagalan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Semakan pada Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 B/P. 63 Kementerian Pendidikan mendapati tiada peruntukan khusus dalam Belanjawan 2020 untuk PSP yang dianggarkan mencecah RM1.67 bilion sebagaimana diumumkan Menteri Pendidikan sebelum ini.

Iklan

"Sebaliknya program kerajaan BN terdahulu iaitu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) masih menerima peruntukkan berjumlah RM295,120,000 di bawah Butiran 081200," katanya hari ini menerusi status akaun Facebooknya.

Tambah beliau, status Program Baucar Buku RM250 seperti dijanjikan untuk diperkenalkan semula pada tahun 2020 dalam satu program di hadapan mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan 4 Mac 2019 lalu juga tiada langsung tercatat peruntukan untuk program itu dalam Belanjawan 2020.

Iklan

Katanya lagi, antara persoalan yang kini bermain dalam fikiran rakyat ialah adakah benar PSP dan Program Baucar Buku akan bermula 1 Januari 2020 sebagaimana dijanjikan kepada rakyat sedangkan tiada peruntukan khusus disebut dalam Belanjawan 2020.

"Apakah Menteri Pendidikan ada berbincang atau berwhatsApp dengan Menteri Kewangan mengenai program-program besar ini sedangkan langsung tidak disebut dalam ucapan mahupun dicatatkan dalam mana-mana bahagian dalam Belanjawan 2020?

"Peruntukan RM295 juta untuk RMT dalam Belanjawan 2020, adakah ia memberikan isyarat dasar kerajaan BN terdahulu lebih berkesan untuk diteruskan berbanding idea sekarang.

"Bagaimana nasib PSP dan Baucar Buku ini akan menjadi seperti janji YB untuk menghapuskan tol Simpang Renggam dan bersedia untuk membayar kembali tuntutan bayaran balik tol oleh pengundi Simpang Renggam?," ujarnya.

Asyraf Wajdi berkata, sehubungan itu Menteri Pendidikan didesak berikan penjelasan segera kepada rakyat.