SPIP diperkenal untuk pastikan pemantau lebih cekap

Iklan
Mohd Sayuthi (dua dari kiri) menguji sistem SPIP yang diperkenalkan untuk pastikan pemantauan lebih cekap. Foto: Ihsan MBPJ

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan Sistem Pengesahan Identiti Peniaga (SPIP) dalam usaha untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan dan memastikan pemantauan yang lebih cekap.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, sistem ini dapat memudahkan semakan di lapangan khususnya kepada usahawan mikro bagi menggelakkan berlakunya penyalahgunaan lesen penjaja.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sistem ini juga dapat memastikan pengesahan melalui kad pengenalan dengan menggunakan cap jari pada alat Mobile Thumbprint yang diintegrasikan dengan sistem e-lesen.

"Ia sekali gus dapat memudahkan tindakan penguatkuasaan di mana laporan dapat dijana secara terus dan dicetak di lapangan.

Iklan

"Berdasarkan rekod MBPJ, sehingga Oktober tahun ini sebanyak 102 peniaga berlesen telah dikesan tidak berniaga sendiri," katanya sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Jom Bayar Lesen Peniagaan Tahun 2020 di Ibu Pejabat MBPJ semalam.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan lesen, Mohd Sayuthi berkata MBPJ telah membuat beberapa penambahbaikan antaranya dengan menetapkan kadar minimum insurans liabiliti awam pada kadar RM100,000 berbanding RM500,000 bagi permit kerusi meja.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, pemilik lesen establisymen makanan turut dikenakan cagaran RM2,000 bermula Oktober tahun ini bagi memastikan pihak terlibat mematuhi tahap kebersihan dan syarat-syarat ditetapkan.

"Tindakan pelupusan cagaran juga akan dikenakan bagi mana-mana premis yang diarah tutup buat kali kedua atas pelanggaran syarat lesen. Pemegang lesen dikehendaki menambah semula cagaran yang dilupuskan dalam tempoh ditetapkan," katanya.

Mengulas mengenai kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan 2020, Mohd Sayuthi berkata, MBPJ akan menyediakan kaunter bergerak bermula 5 November hingga 27 Disember depan.

Tambah beliau, tujuan perkhidmatan kaunter bergerak ini adalah bagi memudahkan urusan pemegang lesen membuat pembaharuan sebelum tarikh tutup pada 31 Disember.

"Seramai 51,251 pemegang lesen tred dan 9,480 pemegang lesen penjaja (usahawan mikro) perlu memperbaharui lesen dan permohonan ini telah dibuka sejak 1 Oktober lepas,"katanya.