KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan bersama selaras senapang angin buatan sendiri dalam serbuan polis di sebuah rumah di Kampung Teluk Pasu Manir di sini malam semalam.
Menurut sumber sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu ke lokasi hasil maklumat orang awam pada jam 10.20 malam.
Katanya, ketika serbuan polis menjumpai seorang lelaki yang tinggal bersendirian sedang berehat sebelum menemui selaras senapang angin buatan sendiri yang disembunyikan di belakang rumah.
"Hasil pemeriksaan seterusnya menjumpai dua batang 'barrel' senapang dan 149 biji bola buatan sendiri dipercayai peluru.
"Selain itu turut ditemui dua botol gas dan tiga botol dipercayai sebahagian komponen senapang.
"Pemeriksaan turut menemui empat paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata sumber, ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek turut memiliki beberapa rekod lampau dan pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini kerana kes dadah," katanya.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
"Lelaki itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.