JURULATIH skuad bawah 18 (B-18) tahun negara, Brad Maloney menuntut anak buahnya supaya berdaya saing dan memiliki kesungguhan tinggi pada pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Phnom Penh, bermula Sabtu ini.
Di samping itu, beliau turut mahu pemain negara tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan dalam saingan Kumpulan G.
Malaysia diundi bersama-sama dengan Thailand, Brunei, Kepulauan Mariana Utara dan pasukan tuan rumah, Kemboja dalam usaha memburu slot automatik ke Kejuaraan B-19 AFC 2020 dengan menjuarai saingan kumpulan itu.
"Saya menjangka mereka akan lebih berdaya saing. Kami bekerja keras dengan cara kita mahu bermain, pastinya sekian lama kita melaksanakan prinsip permainan yang dihasratkan. Harap kami akan terus melakukannya.
"Terdapat satu atau dua pasukan pilihan, jadi pastinya laluan kita tidak akan mudah tetapi jika kita dapat memperagakan aksi yang terbaik dan mengikut rentak permainan yang dingin ditonjolkan, maka saya pasti kita boleh berjaya,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke ibu negara Kemboja itu, hari ini.
Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Kemboja di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh, pada jam 6.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia), Sabtu ini.
Maloney mengakui pasukan tuan rumah adalah sebuah pasukan yang kuat serta memiliki kelebihan bermain di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penonton.
Justeru, katanya, mereka perlu bermain dengan baik sekali untuk melakar keputusan positif pada perlawanan pembukaan itu.
Sementara itu, kapten B-18, Firdaus Irman Mohd Fadhil berkata, barisan pemain telah menunjukkan perkembangan dan peningkatan persefahaman yang positif menjelang pusingan kelayakan itu.
"Persefahaman dan keakraban pemain di luar dan dalam padang bertambah baik daripada sebelum ini. Kami tidak boleh takut terhadap lawan dan tidak boleh juga memandang rendah, kita hanya perlu bermain cara kita,” katanya.
Skuad negara sebelum ini melakar dua kemenangan besar menewaskan Sri Lanka 4-0 diikuti kejayaan menundukkan Taiwan 5-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa minggu lepas.