SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah diputerakan pada 27 November 1956.
Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Februari 1984 dan Raja Muda Perak pada 15 April 1987.
Setelah kemangkatan ayahanda Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak memilih baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan pada 29 Mei 2014.
Sultan Nazrin memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah lima dan menyambung pendidikan rendah serta menengah rendah dari darjah enam hingga tingkatan dua di Sekolah St John, Kuala Lumpur.
Pada usia 13 tahun, baginda berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge.
Baginda kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford diikuti Ijazah Doktor Falsafah Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.
Baginda ialah Fellow Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan Magdalene College, Universiti Cambridge; Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Fellow Diraja Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; Fellow Diraja Institut Kajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia; Fellow Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia dan Penaung Diraja Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.Baginda juga berkenan menerima jemputan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon bagi jawatan Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan pertubuhan itu.
Baginda diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor keempat Universiti Malaya berkuatkuasa 16 Julai 2014 selain menjadi Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.
Pada 14 Ogos 2014, baginda berkenan menjadi Kolonel Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.
Baginda diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah pada 14 Mac 2008 dan seorang puteri, Raja Nazira Safya pada 2 Ogos 2011.