PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai telahpun membuka tirainya. Setakat ini, tiada seorang pun calon yang diketengahkan boleh dikategorikan sebagai muda.
Walaupun Artikel 47 dan 119 Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan Dewan Rakyat dan diwartakan pada 10 September lalu iaitu membenarkan individu 18 tahun menjadi calon, nampaknya tiada lagi parti yang berani menurunkan pahlawan yang betul-betul muda.
Cuma Parti Gerakan nampaknya menurunkan calon termuda setakat ini iaitu Wendy Subramaniam yang berusia 38 tahun.
Untuk rekod, Ahli Parlimen termuda dalam sejarah Malaysia adalah Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, 22 tahun, yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Beliau memecahkan rekod yang lama dipegang Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Ahli Parlimen Pekan pada usia 23 tahun sejak 1976.
Menyentuh mengenai usia calon, sebahagian besar daripada masyarakat kita sudah boleh menerima bahawa golongan muda juga berkemampuan terutamanya dari segi memimpin. Di seluruh dunia, golongan muda di bawah 30 tahun sudah diberikan kepercayaan dan menggalas tugas-tugas penting negara.
Sebagai contoh di Emiriah Arab Bersatu, Shamma Al Mazrui yang berusia 22 tahun dipilih menjadi Menteri Belia dan Sukan menjadikannya menteri termuda dalam sejarah dunia. Lebih muda dari Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Begitu juga dengan Kaunselor Austria, Sebastian Kurz yang berusia 32 tahun telah terpilih menjadi ketua negara. Beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudahpun bertemu di Vienna pada 21 Januari lalu. Pertemuan mereka mendapat liputan media seluruh dunia dan menggelarkan mereka sebagai world’s oldest and world’s youngest government leader.
Kembali pada PRK Parlimen Tanjung Piai, persoalannya adalah kenapa Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) tidak bereksperimen dengan menurunkan calon muda di bawah umur 30 tahun? Tidak kira siapa yang menang, kerajaan negeri Johor tidak berubah, begitu juga di peringkat pusat.
Mungkin PH dan BN bimbang jika menurunkan calon muda, maka keputusan sama seperti PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tempoh hari, calon tua berjaya menewaskan calon muda dengan penuh bergaya. Calon tua masih dilihat sebagai 'feberet', berpengalaman, berketerampilan dan dikenali masyarakat tempatan.
Jadi, kedua-dua PH dan BN kali ini tidak boleh menjadikan umur sebagai modal politik kempen. Umur kedua-dua calon pun lebih kurang sama.
Semoga ada calon bebas yang berani turun dan memecahkan rekod umur P Prabakaran esok. Diharap ia menjadi kenyataan walaupun impian itu tipis.
BN mampu rampas Tanjung Piai
Selain itu, BN nampaknya begitu bersemangat mampu merampas Parlimen Tanjung Piai dari tangan PH. Sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan dan pengundian, pemimpin-pemimpin BN dan Pas silih berganti mengeluarkan kenyataan dengan penuh yakin.
Keyakinan ini ada asasnya kerana pada PRU14 lalu, BN hanya kalah dengan majoriti 524 undi. Walaubagaimanapun, belum apa-apa lagi kita sudah mendengar khabar angin mengatakan ada penyokong UMNO akan membuat undi protes kerana calon dari kalangan mereka tidak terpilih.
Mereka dikatakan marah kerana pucuk kepimpinan UMNO tetap bersetuju memilih MCA sedangkan parti Melayu terbesar itu baru sahaja memeterai Muafakat Nasional dengan Pas. Kononnya mereka mahu melihat kesan dari kerjasama ini.
Mungkin mereka terlupa, hasil Muafakat Nasional ini sudahpun boleh dilihat sejak beberapa bulan dahulu pada PRK Parlimen Cameron Highland, PRK DUN Semenyih dan PRK DUN Rantau.
Kali ini adalah giliran MCA membuktikan keupayaannya dan menggambarkan bahawa Muafakat Nasional adalah untuk semua kaum. Dalam PRK Parlimen Tanjung Piai ini, sejauh mana kaum Cina menyokong Muafakat Nasional atau tidak boleh dilihat pada 16 November nanti.
Keputusan dari Tanjung Piai ini nanti boleh dijadikan hala tuju oleh UMNO dan Pas ke mana mereka mahu bawa Muafakat Nasional sehingga PRU15 nanti.
Di samping itu, kita perlu juga mengambil kira sentimen kaum Cina sekarang. Dengan kelembapan ekonomi dan isu-isu yang melanda kaum dan agama kebelakangan ini, adakah kaum Cina masih tebal menyokong kerajaan PH. Apa pula isyarat yang mahu diberikan mereka kepada Putrajaya?
Jika ramai dari kaum Cina yang terdiri dari 41.6 peratus pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi sebagai tanda protes, penulis boleh jangkakan Tanjung Piai akan dirampas BN.
Di sini calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng perlu menggunakan kredibilitinya dan kemampuannya mewakili penduduk setempat. Jika beliau menang, sekurang-kurangnya Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tidak lagi berseorangan di Parlimen.
Apapun kesudahannya, seluruh negara akan memerhatikan tanah dipenghujung benua Asia ini sehingga 16 November nanti. Semoga calon yang benar-benar layak dan bekerja untuk rakyat memperoleh kemenangan nanti.