GAMBAR empat bekas pelajar Sekolah Menengah Jengka Pusat 1 yang memakai baju sekolah ketika mengadakan reunion di Seoul, Korea Selatan tular di media sosial sejak Ahad lalu.
Marwani Mohamad Marzuki, 34, bersama tiga rakan sebayanya, Norihan Jamhari, Fariza Mohamad Nasir dan Seri Azlina Mohamed Sani mahu mengabadikan kenangan dan mengulangi nostalgia memakai baju sekolah.
Marwani berkata, idea melancong ke negara itu sudah dimaklumkan rakan-rakannya sejak tahun lalu namun dapat direalisasikan tahun ini kerana kekangan masa dan kerjaya.
"Kami bercuti ke negara itu bersama keluarga pada 24 sehingga 29 Oktober lalu. Foto menjadi tular kerana kami bergambar memakai pakaian seragam sekolah berlatarbelakangkan beberapa kawasan tumpuan pelancong sekitar Gyeonggi-do di Anyang, Seoul.
"Tak sangka idea itu mendapat tumpuan rakan-rakan di Facebook dan akhirnya dipetik beberapa portal media popular sehingga kami dihubungi pihak media. Kami gembira idea ini dipuji netizen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Marwani dan Seri Azlina bertugas sebagai guru masing-masing di Kedah dan Pahang manakala Norihan bekerja sebagai jururawat di Klang dan Fariza adalah peguam di Subang Jaya.
Marwani berkata, kesemua mereka berasal dari Felda Jengka dan Jerantut Pahang berhasrat untuk ke luar negara bersama-sama ketika masih di bangku sekolah dan tidak menyangka ia terlaksana selepas 18 tahun.