GUA MUSANG - Sembilan sekeluarga yang berhimpit dalam rumah kongsi di Kawasan Perindustrian Gua Musang akan mendapat bantuan sewajarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, hasil lawatannya ke teratak usang yang disediakan syarikat kayu terbabit mendapati keluarga berkenaan benar-benar memerlukan bantuan.
Menurutnya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM), keluarga Mohamad Affandi Abdul Basik, 29, akan disenaraikan dalam pertubuhan berkenaan.
"Setelah mendengar dan melihat sendiri kehidupan keluarga ini, mereka wajar dibantu. Anak serta lima adik ipar Affandi akan menerima bantuan baju sekolah dalam program Back To School nanti.
"Saya telah maklumkan perkara ini kepada wakil Maik (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan), Ketua Jajahan Gua Musang dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).
"Mentuanya, Bahar Lorong, 64, yang terlantar akibat strok akan menerima bantuan bulanan dan kelayakan untuk memiliki rumah akan disemak," katanya.
Syahbuddin berkata, meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan namun Affandi tampil menjadi contoh menantu dan abang ipar yang baik.
"Mereka sekeluarga hanya mengharapkan kudrat Affandi. Sekiranya Affandi rebah, keluarga ini akan hilang mata pencarian," katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki perlu menyara lapan ahli keluarga termasuk lima adik ipar dan bapa mentua yang sakit hanya dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan hasil bekerja di kilang kayu.
Menurut Affandi, sejak ibu mentuanya meninggal dunia empat bulan lalu, dia dan isteri, Siti Norfaezah Bahar, 27, perlu menjaga bapa mentua yang lumpuh akibat strok.
Mentuanya, Bahar Lorong, 64, tidak mampu menguruskan diri dan bergantung kepada bantuan anak-anak untuk bergerak.
Selain bapa, Affandi turut menjaga lima adik yang masih bersekolah iaitu Mohamad Sharul Bahar, 17; Nor Aini Bahar, 14; Kartina Bahar, 12; Mohamad Khairul Azam, 9 dan Mohamad Khairul Fahmi, 4.
Mereka tinggal di rumah kongsi yang disediakan syarikat kilang kayu di Kawasan Perindustrian Gua Musang.
Sebelum ini, Afandi menetap bersama isteri dan dua anak mereka (Mohamad Adam Mikael, 7, dan Ainur Hawani, 2).
ARTIKEL BERKAITAN: Berhimpit dalam rumah kongsi