PASIR MAS - Keterujaan tiga beradik memulakan sesi persekolahan penggal baharu 2019 bertukar duka apabila semua pakaian dan buku sekolah mereka hangus dalam kejadian di Kampung Lemal, belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Fatin Aina Syazwani Majid,16, Nurin Emiliyana Tasha,12, dan Mohd Zarif Darwish,6, tidak dapat menyelamatkan barangan sekolah mereka kerana api marak dengan begitu cepat.
Nurin Emiliyana Tasha berkata, ketika kejadian dia sedang makan tengah hari di dapur selepas pulang dari sekolah, manakala kakaknya sedang mandi.
"Kami dikejutkan dengan tangisan adik bongsu yang ketika itu sedang bermain di ruang tamu, ibu pula sedang tidur di dalam bilik.
"Tiba-tiba ibu menjerit meminta kami menyelamatkan diri kerana api semakin marak," katanya.
Dia yang melihat api dari siling rumah mereka terus berlari keluar bersama kakak, adik dan ibu dimana pada waktu kejadian hujan lebat.
Difahamkan kebakaran berpunca dari litar pintas.