"HARI ini hari Jumaat, sunat potong kuku pada hari ni."
Barangkali potong kuku pada hari Jumaat sudah menjadi kelaziman buat kita.
Persoalannya, benarkah ada hari-hari tertentu untuk kita memotong kuku dengan kelebihan tertentu? Bagaimanakah cara Rasulullah SAW memotong kuku?
Hukum asal memotong kuku adalah disunatkan pada mana-mana hari kerana asal hadis sahih umum daripada Nabi Muhammad SAW yang mana baginda bersabda:"Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai."
Namun, menetapkan hari-hari tertentu atau kaifiat tertentu tidak ada nas yang jelas berkenaan perkara itu, demikian pendapat Imam al-Sakhawi dan selainnya.
Bagaimanapun, sahabat seperti Ibnu Umar suka merapikan misai dan memotong kuku pada hari Jumaat manakala, seorang ulama tabi'in besar iaitu Imam Ibrahim al-Nakhaie menukilkan bahawa ramainya orang memotong kuku pada hari Jumaat.
Maka, memotong kuku pada apa-apa hari atau dengan kaifiat tertentu boleh dilakukan tanpa menyandarkan secara khusus kepada Nabi Muhammad SAW.
Justeru, tidak salah untuk memotong kuku pada bila-bila masa apabila kita merasakan kuku kita agak panjang.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.